Monday, November 21, 2011

Kaca Jendela Ainnur

Rating:★★★★
Category:Books
Genre: Romance
Author:Diya Nordin
Kaca Jendela Ainnur
Penulis: Diya Nordin
Editor: Ainunl Muaiyanah & Noor Suraya bt. Adnan Sallehudin
Terbitan Jemari Seni Sdn Bhd
RM18.00
Sabah/Sarawak RM21.00
cetakan pertama Januari 2011
415 mukasurat
9789675118517


Walaupun Ainnur bukan adik beradik aku, aku beriya-iya nangis untuk dia. Untuk kesengsaraan yg dia rasa sebagai anak yang dipinggirkan. Over betui aku nih.


Terasa setiap helai novel ini mengundang air mata. Kisah tangkap nangis yang menelan seluruh tumpuan aku. Tak sesuai dibaca di pejabat kerana nanti orang fikir kita nangis sebab bos bagi banyak kerja.


Sepanjang hidupnya, Ainnur berusaha menonjolkan potensi diri kepada ibunya (Syuhairah) yang tidak pernah memberi perhatian kepadanya. Syuhairah meletakkan kesalahan kepada kelahiran Ainnur apabila dia dibuang keluarga dan terpisah dari suaminya, Amir Iskandar. Cepat betul Syuhairah menyalahkan anaknya untuk kesilapan yang berpunca dari dirinya sendiri. Benci terhadap Ainnur terasa tidak logik kerana yang kahwin senyap-senyap di luar negara adalah dia, yang mengamalkan gaya hidup bebas walaupun sudah berkahwin sehingga suami sendiri mempertikaikan kandungannya adalah dia, bukannya salah si anak yang bernama Ainnur Shahirah itu. Entah apa logik yang digunakan Syuhairah sehingga membenci anak sendiri tahap melampau.


Nasib baiklah Syuhairah berkahwin dengan Luqmannul Hakim. Luqman mencurah kasih seorang ayah terhadap Ainnur. Bagi aku Luqmanlah hero cerita ini yang membela hidup Ainnur dari terus dicela dan dicaci ibu sendiri. Ainnur mendapat motivasi untuk terus cuba meraih kasih ibunya. Dari kanak-kanak menginjak remaja lalu dewasa dalam keadaan masih hampa mendapat apa-apa dari segala usaha yang disemai lebih 20 tahun buat Syuhairah. Dia menolak untuk menjadi doktor kerana mahu menjadi graduan undang-undang supaya suatu hari nanti dia boleh bersembang-sembang dengan ibunya tentang sesuatu yang ibunya minati. (Eh, apa ni, taip review pun rasanya nak nangis nih. Adus.)


Ainnur berusaha jadi terbaik supaya bila hari penyampaian hadiah, ibunya akan bangga melihatnya di pentas. Dia menjadi ahli debat untuk menarik perhatian ibunya. Malah dia rela melepaskan Faizal sebagai tunangan (pilihan Luqman) kerana Syuhairah mahu melihat Ain (adik Ainnur, anak Luqman) bahagia kerana Ain syok kat Faizal dalam diam.


Dia dikejutkan dengan kehadiran Fatin Ili yang membahasakan dirinya Umi. Rupa-rupanya itulah ibu tirinya, isteri kepada Amir Iskandar. Malah dia punya adik yang sangat comel bernama Ainun Qasidah. Walaupun tidak pedulikan oleh ibu kandung dan bapa kandung, ibu tiri dan bapa tiri Ainnur pula yang pengasih dan bertimbang rasa. Ainnur sanggup menderma sum-sum tulang untuk Qasidah walaupun syaratnya dia mesti menjauhi keluarga ayah kandungnya.


Takdir membawanya ke dakapan Tok Mama dan Tok Baba nun di Langkawi. Tok Baba sudah memaafkan Syuhairah tetapi hati Syuhairah tetap beku untuk menerima Ainnur. Zhafran, dua pupu (pupu-pupu?) kepada Ainnur mula memberi perhatian. Mungkin kasihankan nasib Ainnur?


Kemalangan yang menimpa Syuhairah membuat tembok kesabaran Ainnur lebur. Dia mahu pergi tanpa jejak demi kebahagiaan semua orang. Tetapi bahagiakah orang-orang yang dia tinggalkan? Zhafran ada misi untuk membawa kembali Ainnur tetapi Ainnur sudah menjadi keras. Sukar dilentur. Mengingatkan aku kepada Syuhairah juga yang amat keras apabila sudah nekad. Kalau Zhafran ayat Ainnur awal-awal sebelum pegi oversea kan senang? Ni dah jauh, dah berubah, dah garang, baru nak cari. :) Tapi Zhafran tak mudah putus harapan kerana pom-pom girl nya adalah Tok Mama dan Tok Baba. Chaiyo! Chaiyo!


Nangis lagi bila Ainnur tegur bacaan Al-Quran ibunya... Tak susah meneka endingnya tetapi cara Diya Nordin membawa kita dalam kisah ini amat berbeza. Tahniah buat penulis dan editor. :)


sure fine whatever
rinn





blurb/sinopsis belakang buku:


Masa itu adalah makhluk Allah yang tak pernah henti berdetik


Seumur hidupnya, dia hanya mahu memenangi hati Syuhairah, mama yang sangat dia rindu walau wujudnya di depan mata. Dari kecil dia sering tertanya-tanya, kenapa dia bagaikan halimunan pada mata mama!


Ainnur Shahirah tidak pernah kenal siapa ayahnya. Sangkanya, apabila bertemu ayah, kurang-kurang dia punya kasih seorang bapa. Tapi dia salah. Ayah seperti mama. Tidak pernah menerimanya sebagai anak.


Dia menjadi daki dalam keluarga. Dia sedar duduk dirinya. Dia akhirnya pasrah, kasih mereka bukan untuknya. Dia harus pergi agar mama dan ayah bahagia dengan keluarga sendiri.


Kata Zhafran, "Ainnur bukan sekadar kejam pada Tok Mama dan Tok Baba. Tapi juga Uncle Luqman. Salah ke mereka hingga turut terhukum?"


Apa yang Zhafran tahu?


Semuanya dia yang tanggung. Rasa pedih, terluka. Semuanya ditelan sendiri. Dia sudah sehabis daya mencuba. Dia pergi pun atas kehendak mereka, jadi apakah dia yang kejam?


----------------
DIYA NORDIN memeta watak Ainnur Shahirah dengan baik sekali. Kaca Jendela Ainnur membawa anda memahami hati seorang perempuan yg tabah. Benarkah hati perempuan itu hening bak kaca?

No comments:

Post a Comment