Tuesday, December 13, 2011

Dikau Tidak Pernah Jauh

Rating:★★★★
Category:Books
Genre: Parenting & Families
Author:Nur Hatija
Dikau Tidak Pernah Jauh
Penulis: Nur Hatija
Terbitan Jemari Seni Sdn. Bhd.
Editor: Harny Abu Khair
RM19.00
Sabah/Sarawak: 22.00
9789675118692
427 mukasurat


Aku tak sangka aku akan menyenangi karya ini. Gaya Nur Hatija yang bercerita dengan serius membuat aku rasa cerita ini berat. Tetapi cerita yang dibawanya ini jarang-jarang dapat aku hayati dalam novel2 melayu. Nur Hatija mengangkat Firdaus sebagai watak utama kisah ini. Tak seperti penulis-penulis wanita lain yang lebih gemar mengangkat watak wanita sebagai fokus cerita.


Kita dibawa mengenali keluarga Fadhil dan dua org anaknya, Firdaus dan Aisyah yang memilih untuk meninggalkan hidup serba mewah untuk melalui cara hidup zuhud. Selepas habis membaca karya ini barulah terang lagi jelas di mata aku mengapa Fadhil memilih untuk membawa Firdaus dan Aisyah hidup dalam serba kekurangan. Dia mahu menyelamatkan aqidah anak-anaknya. Walaupun serba kekurangan, tetapi dia bahagia. dan dekat dengan Allah. Fadhil, Firdaus dan Aisyah terkenal dengan sifat terpuji mereka. Malah sifat mereka turut mempengaruhi sahabat-sahabat baik mereka untuk sama menjadi baik.


Tak sangka betul lelaki sebaik Fadhil pernah disingkir isteri sendiri dari rumahnya sendiri. Kisah Fadhil sangat hiba. Dia rela menukarkan seluruh harta bendanya demi mendapatkan hak penjagaan Firdaus dan Aisyah. Sepanjang membaca kisah ini, aku lebih simpati kepada watak-watak lelakinya iaitu Fadhil dan Firdaus. Penulis meletakkan fokus pada watak-watak lelakinya berbanding watak-watak perempuan. Kisah Fadhil dan Firdaus walaupun berbeza latar masa, tetapi mereka telah mengharungi jalan-jalan yang hampir sama. Fadhil seperti tahu kelemahan Firdaus.


Jalan takdir membawa Firdaus kepada ibunya. Sedihnya melihat Firdaus hanyut ketika tinggal bersama ibunya di rumah yang besar dan mewah. Firdaus ni jenis menurut saja dan mahu menyenangkan hati orang tua sehingga rasa ikhlas itu seolah-olah terkeliru dengan sifat 'menurut kata'. Semasa dengan ayahnya, dia gembira dapat menyenangkan hati Fadhil dengan sama-sama bersolat, sama-sama beribadah, tetapi apabila Fadhil tiada dan muncul pula ibunya Halina, Firdaus jadi hanyut dan leka. Dia gembira mengecapi syurga dunia.


Watak-watak antagonis tidak digambarkan keterlaluan tetapi cukup untuk membuat kita merasa jelik dengan mereka. Kisah Firdaus selepas kemalangan tu membuat aku menangis hingga ke akhir cerita. Terasa kengerian Firdaus untuk kembali ke kehidupan yang mewah kerana dia takut akan hanyut semula seperti dulu. Bapa mertuanya menggunakan pendekatan yang sangat berhemah untuk menarik Firdaus namun pada masa yang sama dia turut tertarik kepada peribadi menantu yang baru dikenalinya. Patutlah anaknya sanggup menunggu Firdaus malah meminta ayahnya meminang Firdaus.


sure fine whatever
rinn


blurb/sinopsis belakang buku


Letaklah Allah pada cinta yang paling utama. Cinta terhadap manusia tidak salah tetapi biarlah selari dengan kehendak agama...


Apakah erti cinta?
Cinta hanyalah omong kosong pada yang tidak sanggup berkorban demi cinta!


Kerana cinta, Fadhil meninggalkan kebahagiaan dunia dan belajar hidup zuhud.
Kerana cinta, Halina sanggup kehilangan kasih anak-anak.
Kerana cinta, Firdaus tenggelam dalam pelukan dunia;
dan kerana cinta akan Firdaus, Mardhiah sabar menunggu.


"Janji dengan saya, awak akan tunggu saya." ucap Firdaus.
"Awak pun berjanji dengan saya. Jangan pernah melarikan diri daripada saya," balas Mardhiah.


Tapi, kenapa kini Firdaus jadi lupa pada kata-kata yang pernah dia ucapkan dahulu? Mampukah mereka kenal erti cinta sebenar? Mampukah mereka berkorban demi mencari nikmat cinta itu?


NUR HATIJA menulis tentang makna cinta. Dikau Tidak Pernah Jauh membawa anda menghayati kisah cinta yang penuh teladan untuk mencari keikhlasan cinta yang sebenar.

No comments:

Post a Comment