Tuesday, April 1, 2008

NamaMU di Dada Langit

Doa.

Di dada langit
anak mata insan ini
menangkap namaMU di sana
keajaibanMU terlakar di depan mata
bersiut bibirku melafaz
kalimah rahmat memuja namaMU
Ya RAHMAN, Ya RAHIM

masih adakah kemaafanMU
buatku yang khilaf
air mataku menitis lagi
di pagi yang bertemankan

rintik hujan bersalut kimia
yang membasuh kesucian embun
di hujung rumput

di abad ini aku masih berdiri
di alam ciptaanMU
ya RABBUL IZZATI

di celah-celah kemajuan bangsa
aku melihat noda-noda
di celah-celah kebangkitan teknologi
aku melihat dosa berdaki
di celah-celah revolusi kehidupan
aku melihat kekejaman sesama insan

masih ada lagikah pembela bangsa
masih ada lagikah pembela agama
masih ada lagikah pendidik bangsa
masih ada lagikah pendidik agama
buat anak-anak muda
bakal pembentuk masa depan
yang membesar sebagai panglima pemusnah
jiwa mereka bersultankan nafsu
masih mampukah jiwa mereka dibasuh
masih mampukah mereka disucikan

aku merenung melangkaui masa hadapan
aku menangis lagi
Ya TUHANku
Selamatkanlah kami
selamatkanlah masa hadapan anak cucu kami

Hanya padaMU kami bermohon perlindungan
Hanya padaMU kami meminta pertolongan
Amin Amin Amin
Ya Rabbal Alamin.

~Rinn~2 April 2008

2 comments:

  1. foto-foto awan ni saya ambil semasa dalam perjalanan balik dari kampung ke KL sehari selepas mengundi. masa ni dah sampai di negeri perak.

    ReplyDelete
  2. sy pernah tgk awan cam gini...
    masa tu malam bulan ramadan...
    terasa kerdil diri ini masa tu

    ReplyDelete