Friday, November 11, 2011

Semarak Cinta

Rating:★★★
Category:Books
Genre: Romance
Author:Hijratul Akisya
Semarak Cinta
Penulis: Hijratul Akisya
Penerbit Kaki Novel Enterprise
Editor: Jabatan Editorial KNE
RM20.00
Sabah/Sarawak: RM23.00
561 mukasurat
9789675067853


"Mampukah aku melupakanmu tika hati dikabus rindu...
mampukah aku melepaskanmu di kala jiwa terpaut sayang...
perlukah aku melangkah pergi bila cinta mulai bersemi?"



Kisah kahwin paksa ini isunya tidak lari jauh dari kisah-kisah tipikal lain dalam genre ini. Tetapi cara Hijratul Akisya berkongsi kisah di kampung yang sulam komedi ringan menjadikan kisah ini membuat kita tersenyum penuh nostalgia. Kita dibawa mengikuti kisah Alia dan Adi Hamidi yang mula mengenal hidup berumahtangga dan mula mengenal hati dan perasaan masing-masing. Adi Hamidi tidak pernah memberi harapan tetapi Alia buat selamba saja menjalani hidup sebagai isteri hanya pada nama.


Alia kelihatan selesa berada dalam situasi itu. Hari-hari yang diharungi bersama memberi pengalaman yang berbeza kepada mereka. Watak-watak tua penyeri kisah ini sangat mesra dan penyayang. Aku suka dengan 'spirit' kekeluargaan dalam cerita ini.


Adi Hamidi yang digelar buaya darat itu tak lah terserlah sangat aura buaya daratnya. Terasa seperti gelaran itu tidak sesuai buatnya. Watak Mimie yang menyintai Adi Hamidi dari jauh mungkin mudah disalah tafsir oleh pembaca pada awalnya tetapi ternyata dia seorang yang menghormati rumah tangga sahabatnya. Namun watak Ely yang merupakan kenalan rapat Mimie pula yang menjadi pencipta onar.


Scene Adi Hamidi memujuk kembali Alia memang sangat manis tetapi membayangkan apa yang telah terjadi antara dia dan Mimie yang 'terperangkap' dan terpaksa berkahwin secara rahsia membuat rasa manis itu sedikit kelat.


Adi Hamidi boleh saja membela diri supaya tidak berkahwin dengan Mimie kerana keadaan pada masa itu berpihak padanya sekiranya dia berkata benar. Malah Mimie juga kelihatan bersedia utk menerangkan yang benar. Instead mereka dinikahkan juga. Penamat kepada watak Mimie kelihatan seperti jalan keluar yang singkat untuk mengakhiri kisah ini.


Apa-apa pun Hijratul Akisya menjaga penceritaan adegan-adegan intim Alia-Adi agar tidak berlebih-lebihan tetapi cukup manis dan mengundang senyum simpul. :)


sure fine whatever
Rinn



blurb/sinopsis belakang buku:


Apalah erti sebuah cinta andai ianya mengundang kecewa yang berpanjgn. Adi Hamidi seorg lelaki yg pernah dikecewakan oleh Azlin wanita yg disayanginya ketika sama-sama menuntut di pusat pengajian tinggi menjadikannya seorg kasanova. Lantas, dia menganggap cinta suci seorg wanita langsung tidak wujud. Teman-teman wanita hanya dijadikan teman bersosial sehinggalah dia digelar "Buaya DArat Terlaris". Kapten Mohamad ayah kepada Adi Hamidi terpaksa masuk campur apabila mengetahui sikap anaknya. Kapten Mohamad membuat keputusan untuk mengatur perkahwinan Adi Hamidi dgn anak rakan baiknya yg telah lama terpisah. Demi menjaga hati dan mendapatkan semula kepercayaan daripada ayah dan keluarganya, Adi Hamidi menerima pernikahan itu.


Atas perkahwinan itu juga ada hati yg terluka, kasih yg disemat di dalam hati bertahun lamanya akhirnya memakan diri sendiri.


Mampukah Nur Alia mengubah sikap suaminya, walau segunung cinta dipertaruhkan dalam melayari alam rumah tangga? atau mungkin dia tertewas oleh perasaan kerana kasihnya yang tidak bertepi.

You Ni... Ayat-Ayat Jiwa

Rating:★★
Category:Books
Genre: Romance
Author:Puteraery Ussin
You Ni... Ayat-ayat Jiwa
Penulis Puteraery Ussin
Editor: Jabatan Editorial KNE
Terbitan Kaki Novel Enterprise
RM19.00
sabah/sarawak RM22.00
534 mukasurat
978675067471


"Aku atau kau yang harus memulakannya dulu?" Dua hati berbisik rasa yang sama.


Lepas aku baca ni, aku dok cari juga apa releven nya 'post it notes' yang comel-comel kat cover ni dalam cerita. Aku ada termiss muka surat ker? atau pun 'post it notes' itu sekadar disesuaikan dengan tajuk? Yang ada bab kad ucapan terpanjang yang masuk guiness book of record jer. Takkanlah budak-budak sekolah nak tulis ayat-ayat yang tertulis pada 'post it notes' tu kat kad ucapan terpanjang yang diikhtiraf peringkat kebangsaan tu. *garu pala


apa-apapun, cover buku ni lah yang membuat aku tertanya-tanya dan membaca sehingga perkataan terakhir. :)


Dilema perasaan hati Yun dan Ery membuat mereka memendam perasaan dan sukar meluahkan rasa hati. Umpama di sana sudah berjanji tetapi di sini hati terpaut. Serba salah. Nak ikut kata hati atau terus berpegang pada janji.


Sepanjang membaca novel ini terasanya ianya lebih kepada menceritakan perjalanan hidup Ery sebagai seorang guru di MRSM Langkawi. Kadang-kadang tak ada perkaitan dengan tema cerita Ery-Yun. Memanglah takkan semendang nak ceritakan kisah cinta tetapi terasa sukar memfokuskan isu sebenar yang ingin penulis bawa dalam kisah ini. Rasanya ianya lebih kepada catatan diari kisah seharian seorang lelaki bergelar guru.


Di awal setiap bab penulis menyelitkan teaser yang menjadi misteri kisah akan datang mengenai Ery dan bakal isterinya. Aku rasa teaser yang lebih kurang satu muka itu lebih menarik daripada kisah Yun-Ery yang diceritakan dalam bab tersebut. Pada mulanya aku agak pening dengan cara teaser dan cerita dijalinkan dalam buku ni. Aku kadang-kadang seperti sesat, sekarang ni dalam 'present' atau dalam 'past'. Tapi bila rentak itu sudah sekata hingga ke hujung cerita, barulah kita dapat menjalin cerita di awal bab ini menjadi satu kisah yg lengkap.


sure fine whatever
rinn




blurb/sinopsis belakang buku:


Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Itulah yang dirasakan oleh Ery dan Yun saat cinta mereka terbelah dua. Di saat hati terpaut, telah ada insan yang telah setia menanti kehadiran mereka.


Hendak diceritakan kepada siapa yang boleh dipercaya tentang perasaannya ketika ini? Hendak berkongsi juga tidak tahu bagaimana hendak dimulakan segala yg berlegar di benaknya. Maka terpaksa dibiarkan sahaja berlalu tanpa suara dan tanpa tindakan sewajarnya. Perasaan itu kalau dibiarkan pasti ada hati yang terluka. Lebih teruk ada jiwa yang akan terseksa - Ery


Di sana si dia menunggu cuma jaraknya jauh, ikhlasnya sudah pasti tetapi jauh itu mengundang rindu yg menusuk kalbu. Di sini bermain mata, dekat jaraknya terlalu hampir tetapi hendak dipeluk takut dia terus lari menjauh dan terus menjauh lagi lalu pergi - Yun


Mampukah mereka meluahkan yang terbuku? Bercantumkah hati-hati mereka? Hanya mereka yang berhak menentukan pilihan hati mereka.

Thursday, November 10, 2011

Areila Sahimi @tv9 hari ini

aku jumpa ni masa jalan2 kat web kakinovel. boleh la tengok Areila Sahimi, penulis kaki novel di tv9 dari jam 8pg - 9pg ni dalam program nasi lemak kopi o.
dari website kaki novel:
Novelis popular KN, Areila Sahimi yang terkenal dengan novel "Baju Pengantin Mak Andam", "2X5", "Iman Suraya" dan "Yes, Boss!" akan muncul di kaca televisyen pagi esok (11hb November, 2011) menerusi rancangan "Nasi Lemak Kopi O" terbitan TV9 antara jam 8.00 pagi hingga 9.00 pagi. Jangan melepaskan peluang menonton celoteh Areila di kaca TV anda pagi esok!

Tuesday, October 25, 2011

Ikhlas, A.K!

Rating:★★★★
Category:Books
Genre: Religion & Spirituality
Author:Nirrosette
Ikhlas, A.K!
Penulis: Nirrosette
Terbitan Jemari Seni Sdn Bhd
Editor: Mariah Mustapha
RM21.00
Sabah/Sarawak: 24.00
9789675118654
528 mukasurat



tahniah buat penulis muda ini kerana menghasilkan karya pemutihan jiwa yang sangat menyentuh hati, manis dan comel ini. Karya-karya beginilah yang sepatutnya diperbanyakkan dan dibaca muda mudi sekarang sebagai ikhtibar dan moga-moga menjadi titik tolak kepada penyembuhan jiwa. Dalam bercerita, penulis mengajak kita menilai diri adakah kita bersedia berubah seperti Kaseh.


Cinta kepada Adam Khalis yang membawa Kaseh (yang comel dan manja) kepada cinta kepada Allah Yang Maha Agung. Dia bersungguh-sungguh menyiapkan diri supaya layak menjadi kekasih Adam Khalis yang baik. Allah mengasihi Kaseh dan Adam Khalis menjadi medium pendorong yang bakal membawa Kaseh ke jalan yang diredhai Allah. Walaupun Adam tu bukanlah alim tahap ustaz-ustaz, tapi dia menjalankan tanggungjawab sebagai saudara sesama Islam untuk membimbing Kaseh ke arah yang sepatutnya.


Adam Khalis (budak biasiswa yang 'low profile') yang sudah sekian lama berada tidak jauh dari dirinya akhirnya kelihatan menyerlah di depan mata Kaseh. Sebelum ini Kaseh yang bermata keranjang, cepat saja terpikat dengan jejaka-jejaka kacak yang 'charming' akhirnya mengejar Adam Khalis setelah membuang Iskandar dari hidupnya. Iskandar jenis yang terlalu mendesak dan 'control freak' membuat Kaseh merasa bosan lalu memulakan pemburuan mencari pengganti.


Lamaran 'direct' dari wanita secantik Kaseh membuat Adam terkedu. Adam mencadangkan tempoh untuk mereka berkenalan terlebih dahulu sebelum 'declare' sebagai pasangan kekasih dan Kaseh laju saja bersetuju. Permulaan perkenalan Kaseh dan Adam Khalis membawa kita mendalami cara hidup Kaseh yang jauh menyimpang dari landasan Islam. Adam secara berhemah mendidik Kaseh. Dia tak pernah menyangka yang Kaseh yang amat terkenal sebagai model yang baik hati itu nama sahaja Islam tetapi dia kenal langsung apa itu Islam. Tetapi Adam sangat bersyukur kerana Kaseh tu seorang yang sangat mendengar kata dan lembut hatinya. Saksikanlah bagaimana Adam Khalis melentur Kaseh, gadis Singapura yang cantik bergaya itu menjadi muslimah yang manis. Kaseh yang selalu naik kereta mewah tu, sanggup bersusah payah naik MRT demi Adam. Hebat betul daya pesona Adam terhadap Kaseh.


Kaseh mula menilai diri apabila menyedari betapa jauhnya jurang perbezaan peribadi antara dirinya dengan jejaka bernama Adam Khalis. Walaupun dia berusaha bersungguh-sungguh seikhlas hati, dapatkah dia meletakkan dirinya setaraf dengan Adam Khalis? Kalaupun Adam masih sudi padanya, mahukah keluarga Adam Khalis menerima wanita seperti dirinya dalam hidup mereka? Ibu Adam Khalis awal-awal lagi sudah beristigfar dan menggeleng kepala. hmmmm... alahai Kaseh, ada 'chance' ke? Bagi yang menumpukan cerita Adam - Kaseh mungkin akan sangat berpuas hati dengan pengakhiran cerita. Sesekali tertanya tanya juga khabar Syera yang sangat rapat dengan Kaseh. Adakah dia masih lagi sesat dalam dunianya? Syera ni lah orang yang paling bimbang apabila Kaseh jatuh hati pada Adam. Dia risau yang dia akan kehilangan Kaseh yang merupakan teman berhibur dan sponsor besarnya apabila berhora di mana-mana. Semasa Kaseh dalam kesesatan, nak sangat dia ikut Kaseh ke mana-mana, tetapi apabila Kaseh menuju ke jalan yang benar, Syera langsung tak mahu ikut. Sayang. Bukan semua mahu jadi baik. Mereka mahu terus sesat. Perubahan rakannya tidak dilihat sebagai petunjuk dari Allah sedangkan orang-orang begini akan menyebut, dia akan berubah menjadi baik setelah mendapat petunjuk dari Allah. Petunjuk sudah di depan mata tetapi dia tidak mahu melihat pula petunjuk itu.


Kulit buku ni saja sudah cukup comel dijadikan hadiah kepada kawan-kawan dan anak-anak :) Membuka 'hadiah' ini dan membacanya juga merupakan pemberian pengajaran terbaik kepada yang membacanya. Perkara pertama yang aku search kat google adalah designer clutch. Aku tak terbayang amende nya tu. Aku kalau orang sebut klac, maksudnya pedal yang selalunya kaki kiri tekan untuk tukar gear keta. haha.


sure fine whatever
rinn




blurb/sinopsis belakang buku


Kada Adam Khalis:

Hidup ini tak boleh berdasarkan 'saya-suka-awak' dan 'awak-suka-saya' and we live happily ever after - aman bahagia untuk selamanya. Tak semudah itu, Kaseh. Hidup ini ada duri dan ranjau.


Kata Kaseh:

Bagaimana kita berbeza macam langit dengan bumi; Kaseh tak kisah. Kaseh sanggup buang apa sahaja demi Adam; termasuklah tidak mewarisi harta benda daddy. Kaseh sanggup hidup macam org biasa. Percayalah, Kaseh bersedia memberi semuanya, kerana sekali dalam hidup Kaseh, apa yang Kaseh 'tahu' apa yang Kaseh 'mahu' hanyalah Adam Khalis!


Kata org:

Opposite attracts. Bad girls go for good guys. True much? Tapi... sejauh manakah kebenaran teori ini? Boleh ke Adam - stok budak masjid, bertahan dengan Kaseh - playgirl of the century? Well, we'll see, we'll see! :) oops, jangan lupa Adam bakal menjadi kekasih yang ke 34 Nur Kaseh Kaisara! :(

Sejam RM2.50

Rating:★★★
Category:Books
Genre: Parenting & Families
Author:Norhayati Berahim
Sejam RM2.50
Penulis: Norhayati Berahim
Editor: Anida Daud
RM29.00
Sabah/Sarawak: RM32.00
867 mukasurat
Terbitan NBKara
9789675229251


"Sengsara itu ada ganjarannya"


Sudah menjadi cara Norhayati Berahim sekarang ini untuk bercerita tentang watak-watak utamanya sejak zaman kanak-kanak, sehinggalah ke alam dewasa dan berumah tangga. Mungkin sebab itulah novel-novel baru beliau sering mencecah 800 muka surat. Cara begitu membawa kita lebih dekat mengenali watak-watak dalam ceritanya. Ceritanya terasa padat walaupun ketebalannya tak agak-agak. KEbelakangan ini banyak juga novel-novel baru bersaiz tebal. Semakin ramai penulis suka menghasilkan karya yang tebal-tebal. Masalahnya kadang-kadang ceritanya best tetapi cerita menjadi 'dragging' atau berulang-ulang membuatkan keseronokan cerita hilang begitu saja.


Keluarga Sean dan keluarga Wafa ada dugaan tersendiri dalam menempuh hidup sejak zaman kanak-kanak. Sean sering kecewa dengan bapanya yang selalu mengenepikan haknya sebagai anak hanya kerana ibunya isteri kedua. Tan Sri itu lebih mengutamakan isteri dan anak-anak di sebelah sana sedangkan dia lima beradik bersama ibu mereka memendam rasa kecewa yang menggunung.


Tan Sri Fakrul perlu menjaga reputasinya sebagai orang terkenal agar tidak terjejas dengan terbukanya rahsia yang disimpan sekian lama. Dia menahan diri dari berlamaan dengan Puan Nori sekeluarga. Dia lebih menumpukan perhatian kepada Puan Sri Fatimah dan dua anak mereka.


Kematian adiknya, Ashraf, membuat Sean lebih membenci bapanya. Ashraf pergi tanpa sempat bertentang mata dengan bapa mereka. Ashraf begitu mengharapkan kehadiran bapa mereka untuk memberi kata-kata semangat bagi dia meneruskan sisa-sisa hidup yang tidak lama. Perkenalan Ashraf dengan Wafa mengubat sedikit lara di hati Ashraf dan Sean. Walaupun masih kecil, Wafa pandai mengambil hati sedangkan dia sendiri menanggung derita penyakit yang membawa maut.


Haron, anak isteri pertama Tan Sri Fakhrul, ada pakej lengkap sbg anak org kaya yang kacak bergaya. Tapi dari segi pekerti, Haron sangat tercorot. Walaupun pandai mengaji, dia gemar bertukar-tukar pasangan. Banyak persoalan mula terungkai selepas kematian Tan Sri Fakhrul.


Wafa dalam dilema pada mulanya apabila mengetahui yang rupa-rupanya ibunya sekarang adalah ibu tirinya. Ibu sebenarnya sudah berkahwin lain dan mempunyai anak. Dia tidak pernah menyangka perjalanan hidupnya selepas itu menjadi gembira dengan kehadiran dua orang ibu yang terbaik untuk dirinya walaupun bapa kandungnya bukanlah seorang yang 'supportive' terhadap minatnya dalam bidang lukisan.


Lebih separuh pembacaan aku masih lagi tak menemui 'sejam RM2.50' tu. Suku terakhir barulah kita bertemu dengan tajuk cerita ini. Demi menyuburkan semangat Islam di US, Wafa menggunakan kuasa "Sejam RM2.50" untuk menarik anak-anak kecil dan remaja US ke surau. errr bukan United States ya? US tu Ulu Saritan di mana keluarga di situ bukanlah kaya raya dan tahap sosial kehidupan masyarakat Islam di situ sangat menyedihkan. Di situlah juga Wafa bertemu Hussin, anak muda yang luhur hatinya. Kalau diorang kawin, diorang akan dapat 4 orang ibu kandung/mertua/tiri yang baik-baik belaka :)


sure fine whatever
rinn


blurb/sinopsis belakang buku:


"Memang aku bukannya baik. Tapi kalau boleh, aku tak mahu buat maksiat. Buat aku tak mahu, bersubahat pun tidak sama sekali."


"Apa salahnya Hraon tu? Dia bukan kejar orang, org yg kejar dia!" Safina seperti memenangkan Haron. Secara tuntasnya, Wafa tahu kenapa Safina mempertahankan lelaki itu. Hanya kerana lelaki itu berharta. Apakah kerana harta, hilangkan segala maruah dan harga diri!


"Kau tahu, papa dia tinggalkan dia dengan harta sebyk sepuluh bilion!"

"Aku peduli apa? Kalau seratus bilion pun aku tak hairan. Aku bukan nakkan dia pun."


Persoalan yang ditimbulkan oleh Safina benar-benar membuat hati Wafa pusang. Safina sama seperti papanya. Harta menjadi pokok persoalan utama. Bukannya pekerti lelaki itu.


"Aku hairan sungguh kau ni."
"Hairan apanya?"
"Apa yg kau benci sangat dgn Haron tu? Aku tak faham. Kau tau tak berapa ramai perempuan hendakkan Haron? Kau bernasib baik kerana Haron tergila-gilakan kau. Kau bernasib baik kerana daripada ratusan, mungkin ribuan wanita yang mahukan dia, Haron memilih kau. Kalau akulah, aku tutup mata saja dgn apa yg Haron lakukan. Dia kaya, dia bilionaire!"


Bodoh! Mahu saja Wafa mengeluarkan kata-kata tersebut. Org bodoh macam Safina saja yang tergila-gilakan lelaki mcm Haron. Aku tidak sebodoh itu!


Ya memang Wafa tidak sebodoh itu. Dia mahukan pekerti lelaki dan bukannya harta. Itu semua dia ada. Dia boleh mencarinya. Dia mahu hidup dengan gembira dan bahagia. Siapakah yg ditemuinya dalam perjalanan dan kehidupan yg singkat ini?

Surah-Surah Rindu

Rating:★★★
Category:Books
Genre: Parenting & Families
Author:Saridah Hamid
Surah-Surah Rindu
Penulis: Saridah Hamid
Editor: Siti Nor Fadilah Salleh, Nor Hafizah Mohd Samsudin, Nahdatun Nisaak Othman
RM24.00
Sabah/Sarawak: RM27.00
9789833604197
427 muka surat
cetakan pertama 2008


"Dan Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada orang tuanya, ibu bapanya, ibu yang mengandungkannnya dalam keadaan lemah dan menyusunya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. Hanya kepada-Ku kembali," [Surah Lukman, ayat 14]


Mood nak membaca novel-novel bernada Islamik pula sekarang ni :). Pengaruh lepas baca Ikhlas A.K. kot :)


Kali pertama aku menatap karya Saridah Hamid. Novel Islamik terbitan PTS ini seperti biasa disunting rapi dalam bahasa Melayu rasmi. Dari segi isi cerita isunya tidak jauh berbeza dari novel kontemporari biasa yang menceritakan kisah seorang gadis yg dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan ajaran Islam. Dia kemudiannya mendapati dia adalah anak angkat dan bermulanya dilema besar dalam hidupnya selain dari hatinya yg mula dijentik perasaan cinta terhadap lelaki.


Kisah ini bermula dengan tibanya Nurin Hannah yang baru dilahirkan. Ibunya diugut akan dibuang keluarga jika terus memelihara Nurin Hannah yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan.


Sejak zaman sekolah Nurin sering menerima persoalan adakah dia betul-betul anak melayu kerana kulitnya sangat putih dan matanya sepet.


Walaupun belajar dan berada jauh dari keluarga, dia memegang kejap amanat ibunya supaya memelihara tatasusilanya sbg seorang muslimah. Kehadiran warkah salam perkenalan dari Naqiuddin membuat Nurin Hannah mula merasai perasaan jatuh hati.


Sifat Nurin Hannah yang pemalu dan menjaga tatasusila sangat memikat hati Naqiuddin. Penulis tidak mendedahkan perasaan Naqiuddin mengenai kenyataan bahawa Nurin sebenarnya anak angkat dan anak luar nikah. Mungkin penulis akan membawa isu ini dalam novel seterusnya kerana ada perkataan 'Novel Dwilogi' pada kulit depan novel ini.


Walaupun terkesima dengan kenyataan bahawa dia adalah anak angkat, Nurin seorang yang waras dan bertimbang rasa. Malah dia gembira dapat membina hubungan yang baik dengan ibu kandungnya yang sudah memeluk agama Islam. Ramadhan yang akan datang dia akan dapat berpuasa dan beribadat bersama ibu yang baru mahu dikenalinya.


Nurin tidak pernah melupakan jasa ibu dan bapa angkatnya serta adik-adik dan abangnya yang mengasihinya sepenuh hati.


Kebelakangan ni kalau baca cerita anak perempuan yg diambil sebagai anak angkat, bapa angkatnya mesti bernama 'Abdullah' ya? supaya heroin tak mengesyakki yang dirinya tu anak angkat kot.


sure fine whateverr
rinn




blurb/sinopsis belakang buku




Nurin Hannah, gadis yang dilimpahi kemewahan kasih sayang walaupun dia sering menjadi bahan usikan kerana perbezaan wajah dan warna kulit dgn keluarganya. Sejak kecil ibu bapanya mengasuh dia dan adik-beradik dgn didikan sempurna bagi bekalan dunia dan akhirat di samping menjadi muslimah sejati.




Ketika menuntut di universiti, pintu hatinya diketuk jejaka yg terkenal di falkutinya. Teringatkan pesanan ibu yg menghalang dia berkasih ketika sedang belajar, Nurin akur dengan ingatan itu.
tetapi mampukah jiwa halus Nurin Hannah menahan gelodak hati yg merronta.




Persoalan mengenai status Nurin Hannah membuat gadis itu dalam dilema. Benarkah dia hanya anak angkat Abdullah dan Hasinah? Nurin Hannah semakin kalut. Tetapi wajarkah dia melupakan kasih sayang yg dicurahkan ibu bapanya hanya kerana sepucuk surat? siapakah dia sebenarnya?

Promo Minggu ini...

hehe dah lama aku tak buat promo. Rasa mcm tak der masa nak browsing dan mencari info. Sekarang rasa mcm kesuntukan masa jer. apa2pun pagi2 deepavali ni sempat la aku menjengah blog ni. lepas ni nak update beberapa review yang aku belum update di sini :) Sekarang ni dari ofis dah tak boleh access multiply ni. so kat rumah la boleh update, masalahnya lepas balik keja tu dah malas dah nak jengah2 blog. rasa nak berehat dan nak tido jer.

ok update update!

Yo orang2 kulim! hehe ada rasa nak jumpa siti saleha live? last weekend masa balik kulim aku ada ternampak poster Siti Saleha Enchanteur. Kalau ikut poster tu, siti saleha akan berada di Giant Kulim pada 29 Oktober 2011, sabtu ni jam 3-5 petang. so sapa2 nak gi amik gambar ngan siti saleha atau nak tengok si 'Nora Elena' dari dekat, boleh la ke sana ya? :)


Next! hehe orang2 yang di sekitar plaza angsana johor baru, mari serbu ke sana dan jumpa novelis2 alaf dan buku prima dari 28-30 oktober dr jam 10pg - 10 malam. boleh la gi kumpul tandatangan :) ni jadual penulis2nya.


Bagi kengkawan yang sekitar KL jangan risau, kita pun ada tempat nak serbu jugak :) mulai hari ni (26/10/2011) boleh la kita pegi jalan2 dan shopping buku kat Expo Buku Islam. Expo ni akan belangsung sehingga 1 November 2011. Antara penerbit yg join expo ni adalah Jemari seni, telaga biru, galeri ilmu dan must read :)


Ada rancang nak bawak anak2 jalan2? haaaa jom pegi dataran merdeka. Ada Festival buku kanak2. Ada banyak aktiviti menarik untuk anak2 di sana :) dari jam 10pg - 6ptg. hmm jemari seni pun ada tawaran hebat utk those yang beli buku di sana :) poster promo seperti di bawah ya? aku copy poster promo alaf dan jemari seni :)


Dan akhir sekali, aku nak panjangkan jemputan dari jemari seni. diorang nak ajak korang makan2 nih. bagi yg berminat sila ambil tindakan segera ;) tempat terhad tau.


sekian wasalam utk promo minggu ini. Mak Long tengah rajin update nih...chaiyo! chaiyo!

sure fine whatever
rinn