Thursday, January 21, 2010

Novel-Novel Baru: Available Januari & Februari 2010

Haaa tu diaaa... ramai gak dok tanya mana promo novel2 baru. biasanya aku suruh gi jengah website2 penerbit lah or kat gengkicap nun, selalu ada promo baru. Tapi memandangkan ramai gak yg cari novel baru kat sini, so aku post la jugak promo kat sini. haaaa ada nampak yang bekenan???? Aku pun tengah kira bajet ni nak bli buku baru. huhu...

 

Tajuk: Wasilah Cinta Weera
Penulis: Rose Harissa
RM 20 / RM 23 (Sabah & Sarawak),
978-983-3892-70-9,
Tarikh Terbit: 15 February 2010


Sebuah kisah yang sarat makna kasih sayang sesama manusia. Ia menawarkan keharuan ikhlasnya perhubungan antara Weera dan Ray, dua sahabat yang disalah erti hubungan hanya kerana mereka lelaki. Namun pada mereka setiap manusia boleh berbicara soal keteguhan hati, kasih dan keikhlasan asalkan ia kerana Allah.


Ujian Tuhan akhirnya menyentuh Weera. Fitnah tidak malu-malu menghambur namun Weera tetap teguh kerana dia percaya ujian mendatangkan kebahagian untuk sesiapa yang mengertikannya.

Pengertiannya, menitis lembut pada kata Wasilah Cinta Weera.

-----------------

Pada setiap yang berlaku, Tuhan ada sebabnya. Pada setiap sebab yang manusia fahami, Tuhan ada hikmahnya. Itu kisah yang terpapar dalam novel ini, sebuah novel yang sarat dengan makna sederhana, perjuangan dan pengorbanan.

Bermula kisahnya pada saat Ramadan, lelaki sederhana yang masih basah matanya dengan kematian ayahnya, dijemput ke kota bagi menjadi imam di sebuah surau yang lesu.

-----------
Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Liza Zahira

Sinopsis: SHAKIRA terumbang-ambing akibat kemiskinan hidup dan hilang tempat bergantung. Airil yang hadir dengan perspektif negatif terhadap gadis itu, akhirnya berubah mencintainya dalam diam.

Sukar bagi Shakira untuk bahagia, lantaran ada hati yang dengki dan merancang balas dendam. Hati hitam milik Anida berjaya membuatkan cinta Shakira dan Airil ter halang hingga lelaki itu membawa diri meninggalkan Shakira terkapai-kapai keseorangan. Sejak itu, satu per satu badai datang melanda hingga hidup gadis itu tidak menentu.
Di universiti, Shakira menemui cinta baru, tapi malangnya dia sudah jadi milik orang lain. Demi kasih pada ibu, dia rela berkorban biarpun hatinya hancur bagai kaca berderai ke bumi.
Shakira cuba menjadi SEINDAH SAKURA meskipun harapan untuk mendapatkan kembali cinta sejati semakin mustahil. Namun, dia perlu percaya pada jodoh yang telah tersurat untuknya. Mungkin kita sengaja dipertemukan dengan cinta yang salah agar kita bersyukur setelah mendapatkan cinta yang sebenar...
---------------
Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Marwilis Hj Yusof

Sinopsis: MENEMPUHI alam perkahwinan menjadi impian setiap insan. Tidak kira sama ada teruna, dara, duda ataupun janda. Begitulah halnya dengan Pak Johari. Selaku bomoh jodoh yang terhebat, khidmatnya sering mendapat perhatian ramai. Biarpun dia boleh memilih di antara wanita yang datang berubat dengannya untuk dijadikan pengganti arwah isterinya, namun dia sama sekali tidak berbuat demikian. Sedangkan ramai yang datang mendapatkan khidmatnya kini bergelar ‘kucing Parsi’. Istilah yang merujuk kepada pengantin baru yang saling membelai dan dibelai.

Pada masa yang sama, penduduk kampung dikecohkan dengan kepulangan Leha, janda muda yang dahulunya menjadi kekasih seorang pemuda kampung bernama Jali. Sejak kepulangan Leha, Jali tidak sekalipun mengendahkannya. Terhina dengan sikap dingin Jali, Leha membuat percaturan untuk bernikah dengan orang lain. Namun, takdir tidak menyebelahinya.
Atas rasa bertanggungjawab kerana tidak memberitahu yang pilihan Leha iaitu Imam Dahlan sebenarnya telah mempunyai orang lain, Pak Johari cuba melamar Leha. Namun, ia tidak semudah yang disangka. Ada juga yang cuba memiliki Leha dan melaga-lagakan Pak Johari dengan Jali. Biarpun akhirnya Leha berjaya disunting, persoalannya siapakah yang berjaya menjadi ‘kucing Parsi’ Leha? Adakah Pak Johari ataupun Jali?

-----------------
 
 
Harga: RM16.00
Halaman: 448
Penulis : Hasreeyati Ramli

Sinopsis: HARLINA seorang gadis yang tegas ketika bekerja. Bagaimana pun, sejak Ryan Iskandar mengetuai syarikat tempat dia bertugas, Harlina sering dibuli. Lama-kelamaan, lelaki itu mula jatuh cinta setelah mengenali hati budi Harlina. Namun, gadis itu bagaikan mawar berduri. Cantik dipandang, tetapi sukar didekati. Cinta yang mekar di hati Ryan Iskandar hanya dipandang sepi.

Kehadiran Eddie Firhan telah menawan hati Harlina yang sekeras kerikil. Belaian cinta lelaki itu menyebabkan dia rasa sangat dihargai. Tanpa disedarinya, Eddie Firhan mempunyai muslihat tertentu.

Ryan Iskandar yang mengetahui tentang kejahatan lelaki itu bertindak menyelamatkan Harlina. Dia sanggup menggadai nyawa demi Harlina biarpun huluran cintanya tidak disambut.


--------------
 
Tajuk : 86,400 Detik
Penulis : Dyza Ainun
Penerbit : Buku Prima
Harga : RM19.90
Sabah/Sarawak: RM22.90
isbn: 9789675489129
Tarikh terbit : 31 January 2010
.
.
"Detik tidak pernah menipu. Ia adalah suara benar yang sentiasa berbicara di lurah hati kita. Biarlah detik terus berdetik bersama relung2 ingatan yg tak mungkin hilang dari maya. Sehingga tiba untuk ia berhenti berdetik."


Benarlah malam Pengantin Irna adalah malam ladungan air mata. Bantal berhias cantik, basah lejuh oleh titisan air jernih nan hangat. Pakaian pengantin yang indah seakan melempar sinis menyindir kekecewaannya. Pelamin, sekadar menjadi replika untuk tatapan tetamu
-Irna Muliati

Bencinya aku pada semua lelaki. Namun, wajah doktor muda itu menjenguk di ruang mata dan hati. Kenapa wajah itu menjenguk di saat dia sedang berperang dengan kebencian terhadap seorang lelaki yang telah meleburkan hati kakaknya? Dendamnya masihkah membara?
-Najwa Raihana-

Sejak bertemu awak dulu hingga saat ini, hati saya tak boleh nak lupakan awak, Naj. Hati saya penuh dengan impian untuk bersama awak. Mungkin awak bukan cinta pertama tapi saya nak jadikan awak cinta terakhir saya. Namun saya sedar, saya tak boleh mengejar bulan, ia tetap lari dari saya. Walau saya tahu, tak mungkin saya boleh memegang bebayang. Ia akan ditelan kegelapan
-Doktor Ezani-

Kau apa ada? Anak seorang pekebun? Tergila-gilakan Syad,konon! Hey, Yana lupakan Syad. Tak setaraf kau nak berganding dengan anak datuk tersohor macam Engku Irsyad tu!
-Syakilla-
-------------
Aku ingin berkongsi segalanya bersama sesiapa sahaja yg mungkin meminati buah karyaku. Ingin menjuadahi mereka dgn kepuasan, ketenangan, kebahagiaan malah apa saja. Biar bibir mereka bisa tersenyum, mata mereka bisa meniti atas setiap kalam yg kucatatkan dan hati mereka puas menghayati setiap baris ucapanku. Kalau aku mampu memperhebatkan setiap karyaku, hanya Allah saja yg bisa membimbing dan mengatur aku utk melangkah lebih hebat lagi. Insya-Allah...~Dyza Ainun~
----------
 
Tajuk : Jauhari Hatiku
Penulis : Imias Farhani
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM19 ( Sem) n RM22 (S&S)

Kisah Farisa yang lahir dan membesar di dalam keluarga sederhana tanpa lelaki bergelar bapa. Dia adalah watak di antara ribuan wanita yang tabah dalam meniti kehidupan walaupun sering diasak dengan pelbagai dugaan.

Bermula dengan pertemuannya dengan Daniel McCommick, pemuda peranakan Cina-Sweden yang banyak menyimpan rahsia, Farisa mula mengenali perbezaan darjat dan kepercayaan.

Namun, perbezaan itu tidak menghalangnya untuk bersahabat baik dengan Daniel. Keintiman persahabatan mereka sering diuji dan disalah ertikan. Namun, mereka tetap teguh dengan pendirian masing-masing. Apatah lagi dengan kehadiran si kecil, Samantha, persahabatan mereka bagaikan terpaut utuh.

Daniel banyak membantu Faris adalam meniti kehidupan yang penuh ranjau. Begitu lah sebaliknya, Farisa banyak mengajar Daniel erti sebenar kemaafan dan kasih sayang lantas membawa Daniel mengenal Islam. Tanpa mereka sedari, waktu yang beredar telah membibitkan perasaan cinta dan saling sayang menyayangi.

Kemunculan Rafiq yang ingin merebut cinta lama serta tentangan hebat keluarga Daniel dan juga ibunya sendiri sedikit sebanyak mengganggu gugat keyakinan Farisa. Kesihatan Farisa yang tidak mengizinkan juga , mencarikkan luka di hati. Ajal dirasakan terlalu dekat dengannya.

Hanya Samantha yang dapat menghiburkan dan mengembalikan garis-garis senyum di bibir Farisa. Samantha bagaikan jauhari yang mampu meniupkan semangat ke dalam diri Farisa. Namun sampai bila dia dapat berdampingan dengan Samanth? Akan kekalkah cinta dan sayang Daniel terhadapnya? Hanya waktu yang bisa menentukan segala-galanya..

 

Tajuk : Pergilah Air Mata
Penulis : Hanni Ramsul
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM28 ( Sem) & RM31 ( S&S)

Noktah bahagia yang menjadi anganku, ternyata cuma titik mula derita yang tidak bertepi.
Sumpah bukan ini yang aku mahu.
Sumpah juga, aku tidak mahu membuat kau terseksa.
Tidak pernah mahu merobohkan bahagiamu.
Atas rasa bersalah, aku rela melihat kau menganyam bahagia bersamanya.
Namun, mengapa perlahan-lahan layananmu memberi tanda tanya di hati ini?
Mungkinkah kita sama-sama berkongsi rasa?
Mungkinkah kita sudah sama-sama terpaut?
Atau mungkinkah segala yang berlaku tidak lebih hanya mainan perasaanku sendiri?
Mungkin..kerna aku yakin, bencimu tidak mungkin berubah sayang.
Bencimu padaku setinggi awan yang menyapu langit
... SABRINA


Memang aku benci.
Memang aku tidak rela dengan takdir ini.
Namun, kenapa tulusmu terus mengikat aku pada ikatan yang paling ku benci ini?
Mengapa hati ini penasaran setiap kali kau menagih perpisahan yang pernah aku janjikan?
Cintakah ini, apabila aku tewas tiap kali memandang wajahmu?
Sayangkah ini, apabila hatiku digaru resah tiap kali aku cuba lari darimu?
Mustahil cinta kerana cintaku sudah kusimpul kukuh di hati dia.
Lalu, apa yang sebenarnya yang berlaku antara kita?
Bagaimana cara untuk aku hapuskan wajahmu yang terus menemani mimpiku?
Di mana noktahnya mainan perasaan ini
... BADRUL

--------------------

Kita Hanya di Seberang jalan
Penulis: Bahruddin Bekri
RM 19.90 / RM 21.90 (Sabah & Sarawak),
978-967-5406-16-4;
Tarikh Terbit: 15 January 2010 ;
Jumlah Muka Surat : 448 halaman


Kisah seorang lelaki bernama Rusdan yang terpaksa bekerja di kedai pisang milik sepupunya bersama kaum kerabat yang lain. Masalah timbul kerana kedai pisang itu dibina tanpa lesen dan PBT hendak merobohkannya, selain mempunyai beberapa pesaing. Di seberang jalan kedai itu, ada sebuah rumah teres yang didiami seorang wanita, dan Rusdan sering melihatnya. Dia juga sering memerhatikan wanita itu ketika wanita itu berbelanja di kedai pisang. Entah bagaimana, wanita itu bermurah hati membantunya. Dia kehairanan dan cuba menyiasat sebab utama wanita itu membantunya di kedai itu. Akhirnya terbongkarlah rahsia, di seberang jalan.

Tajuk : Rumput Masih Hijau

Penulis : Iman Xara

Penerbit : Jemari Seni

Harga: RM20.00 (Sem. M'sia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)

Harga pembelian melalui pos: RM18.00 (mulai 25 Jan. 2010)

 


tidak pernah malam itu berpanjangan

tidak juga siang itu hadir tanpa penghujung

 

 

Satu demi satu lelaki yang dia kenal selepas Ikram tidak pernah diizinkan bertamu di hati, sehinggalah Naim menjadi ‘tawanan’ kalbunya. Sejak awal, kenapa tidak Adam Ashraf yang menjadi pilihan? Kenapa Doktor Safuan sentiasa dipandangnya sepi tanpa rasa? Bukankah mudah memilih yang masih bujang, daripada memilih ‘bekas’ orang? Apatah lagi untuk memikul tanggungjawab sebagai ‘ibu segera’!

Perempuan berhati konkrit ke dia, untuk tidak memahami kerlingan Safuan mahupun senyuman Adam. Kenapa hanya lelaki beranak satu itu yang dia suka?

Malu, kan sesudah berkata ‘ya’ pada pinangan ibu si dia, sedangkan si dia pandang sebelah mata kepadanya pun tidak. Tiada sesiapakah yang simpati pada perempuan yatim piatu sepertinya ini tatkala pilu melanda bertimpa-timpa?

Wafa, bukankah rumput itu hijau di mana-mana, kenapa harus memandang pada padang yang sudah dimiliki orang lain?

* * * *


Bacalah rahsia rasa sanubari Wafa daripada pena IMAN XARA dan tanya pada hati sendiri... benarkah Rumput Masih Hijau di mana-mana?

Tajuk : Nama Atas Kertas
Harga : RM20 (Sem) /RM 23
mulai 10 Jan

Sebuah karya thriller yang penuh dengan teka-teki daripada:

NASRON SIRA RAHIM...


Engkau tidak dapat melihat aku,

tapi aku sentiasa wujud;

Engkau boleh bersembunyi di mana saja,

tapi aku akan tetap menjumpaimu;

Engkau boleh menentang aku sehabis upaya,

tapi kau tidak akan dapat mengalahkan aku;

Siapakah aku?


Apa tip yang ada?

“Pada setiap jasad itu, dia meninggalkan satu puzzle

dan mencabar sesiapa saja termasuk ANDA, untuk menyelesaikannya…”

TAWARAN
Buah fikiran anda diperlukan!

Sekiranya anda memiliki IQ yang cukup, otak anda sangat diperlukan untuk menolong Faiz dan Hanim membongkar misteri teka-teki ini! Pembunuh yang sadis itu harus diberkas dengan kadar segera, sebelum ramai yang menjadi mangsanya. BacalahNama Atas Kertas sebagai petunjuk: dan selesaikannya.

Tajuk : Cinta 365 hari
Penulis: Norzailina Nordin
Harga: RM19.90
Halaman: 512
ISBN: 978-983-124-492-0

Sinopsis:
KATA orang, cinta tidak mengenal siapa. Cinta itu perkara biasa bagi makhluk yang bergelar manusia. Mahu bercinta, ingin dicintai – itu sudah pasti! Persis ombak dan pantai yang tidak ingin berpisah walau sesaat. Itulah CINTA!

Cinta yang mendalam pada Erynn membutakan matanya. Kali pertama bertemu, Darren Ho sudah jatuh hati. Perwatakan Erynn yang agak lurus mencuit hatinya. Kelembutan sifat Erynn meruntun jiwanya. Keikhlasan gadis itu menawan sanubari. Namun, latar belakang mereka yang jauh berbeza, apatah lagi perbezaan agama yang dianuti menjadi halangan besar buat mereka meneruskan hubungan.

Madam Ho sama sekali tidak mahu melepaskan Darren kepada Erynn. Maka, dia membuat muslihat untuk memisahkan mereka. Bagi mempertahankan nama keluarga Ho, Madam Ho memaksa Darren mengahwini Tania, gadis sebangsanya. Darren serba salah. Antara ibu dan kekasih, yang mana patut didahulukan? Mempertahankan cintanya atau terus menjadi anak yang patuh? Gila! Memang gila dibuatnya.

Yang pasti, dia tidak pernah berhenti membilang hari... bilakah cintanya dan Erynn bakal bersatu.

----------------------


Best Friends Forever (BFF)… merupakan ungkapan yang sering diucapkan dua orang teman baik, juga merupakan sepupu berwajah seiras. Serupa tapi tak sama. Inaz dan Fiya atau Shafinaz dan Lutfiya Zahra, yang sering mendapat gelaran ‘kembar’; ke mana-mana sahaja, mereka selalu berdua. Saling menyayangi, saling menolong dan saling bergantung.


Pun begitu, mereka bagaikan sedang dalam satu pertandingan untuk merebut sebuah trofi. Tanpa disedari, perasaan cemburu terbit di sanubari, masing-masing berentap untuk berada di depan.


Inaz, suka yang rancak dan kecoh, sedang mencari seseorang yang baik budi, menambat hati. Suka kepada yang bertubuh ‘tegap’… asal tidak mengingatkan kepada ayahnya. Dia juga sensitif dan pernah berdepan dengan tekanan. Mampukah Inaz mencari apa yang diimpikan?


Fiya pula, seorang yang pintar, suka kepada ‘nature’, minat aktiviti lasak, sayang kepada haiwan, sudah pun mendapat teman dan kini berada di depan. Mungkin kerana itu, Fiya dan Inaz bagaikan sedang bercakaran.


Munawarah dan Melissa, teman baik yang cuba jadi orang tengah, penasihat… mungkin juga pembelot?


Pertemuan Inaz, Fiya, Muna dan Mel… dengan empat orang jejaka di atas gunung legenda, membawa satu perubahan hidup dan mewujudkan pelbagai soalan dan teka-teki.


Novel ini akan temukan pembaca dengan pelbagai karakter yang berbeza kerjaya, mendekatkan kita kepada wira-wira negara, yang mungkin sebelum ini tak pernah kita kenali. Merasai apa yang dirasai oleh seorang anak angkat yang cuba mencari identiti diri. Siapakah agaknya yang menjadi burung rajawali, penuh perasaan tinggi diri, yang akhirnya terpaksa lakukan transformasi?


Sukarkah untuk menerima kekalahan dan payahkah untuk meluahkan perasaan? Sama-samalah menyelami dan menghayati kisah suka duka kehidupan mereka yang bergelar insan, yang disusun indah dalam novel Terbanglah Sayang.

----------------------------------

Sejauh mana pun mereka membawa diri, Najla dan Amal tidak mudah melupakan segala yang pernah menjadi milik mereka. Bukan mudah juga untuk mereka merelakan perpisahan. Bukan juga mudah melupakan kepergian.


Amal tahu dirinya hanya gagak di rimba dan Hakim umpama merak kayangan. Sudah ditakdirkan Hakim itu tidak untuknya. Namun bukan salahnya apabila kasih setia tercipta untuk lelaki itu. Najla sedar cintanya kepada Anas Salihin tidak pernah pudar walau jarak dan waktu memisahkan mereka. Namun, Najla tidak sanggup untuk terus berharap apabila terbukti cinta itu tidak berpihak untuknya.


Apakah benar Amal dan Hakim tidak berhak untuk bersama hanya kerana dunia mereka berbeza? Dan, selama mana pula Najla dan Anas Salihin terdaya menyembunyikan rahsia hati? Selama mana mereka rela berteman rindu sedang di hati ada cinta menemani?


--------------


Kerana cinta, Asiah lalai dengan tuntutan agama, membuatkan dia melarikan diri mengikut kekasih hatinya, Ah Sim. Perlarian tanpa hala tuju itu akhirnya menjebakkan diri ke dalam kancah maksiat. Kematian kekasihnya menyebabkan Asiah mengalami tekanan jiwa.


Rafiza, Rufila dan Rafidi dibesarkan penuh kasih oleh Encik Abu Bakar dan Bidan Suriati. Kasih sayang mereka langsung tiada belah bahagi. Apa yang diperolehi oleh Lia Asmara dan Nia Astika, akan diperolehi juga oleh mereka bertiga.


Tahun berganjak, Rafiza melarikan diri bersama pemandu teksi demi hidup bebas sehingga tanpa sedar berlaku sesuatu yang langsung tidak diduganya. Rufila sanggup korbankan kasihnya buat Nazril Shah demi kebahagiaan Nia Astika. Rafidi tetap tidak mahu mengalah dalam mengejar cinta gadis impiannya.


Kerana rindu itu adalah cinta yang harus terus melekat di hati, apakah Rafiza yang lari akan pulang ke pangkuan keluarga? Mungkinkah Rufila akan turut bahagia dengan keputusannya? Bolehkah Rafidi berjaya merebut hati gadis igauannya? Tidakkah ada rindu dalam hati, menghambat semula pertemuan?

--------------------


Di sebuah kawasan tanah tinggi, tinggal seorang perempuan bersama anak-anaknya. Castle of Flowers, jadi hunian Puteri Dahlia bersama puterinya serta tiga puteri tirinya; Puteri Lavender, Puteri Everlasting dan Puteri Rose. Puteri Dahlia begitu benci dan dendam kepada semua anak-anak tirinya. Semuanya gara-gara kasih sayang suami dirampas oleh madunya.


Puteri Lavender, Puteri Everlasting dan Puteri Rose terpaksa bersabar dengan olah bonda dan adik tiri mereka. Semuanya demi mengenang jasa Puteri Dahlia kerana telah memelihara mereka. Biarpun kejam, Puteri Dahlialah yang membesarkan dan menjaga mereka selama ini.


Namun begitu, akhirnya Puteri Lavender memecah tradisi. Membantah kekejaman wanita itu. Keberaniannya menimbulkan berbagai bencana untuk mereka bertiga. Tindakannya melarikan diri menemukannya dengan Tengku Luthfibillah, Calvin Ng dan Raja Parameswara.


Akan hilangkah benci Puteri Dahlia ke atas mereka nanti atau selamanya kembar bertiga itu harus jadi mangsa dendamnya? Atau mungkinkah hadirnya Tengku Luthfibillah, Calvin Ng dan Raja Parameswara bakal menganyam cinta dan bahagia di hati Puteri LER?

Nyanyi sunyi
Penulis: Maskiah Masrom
RM 20.50 / RM 23.50 (Sabah & Sarawak),
978-983-3892-67-9;
9789833892679
Tarikh Terbit: 15 January 2010 ;
Jumlah Muka Surat : 648 halaman


Cempaka, pencinta sastera, bahasa dan budaya Melayu yang jatuh cinta kepada Dr. Arjuna.

Imran Baihaqi, ustaz hafiz al-Quran yang meminati kesusasteraan Melayu dan jatuh cinta pada Cempaka.

Lukmanulhakim, wartawan muda yang meminati kisah-kisah romantis dan mencintai Cempaka.

Dr. Arjuna, pensyarah bahasa dan kesusasteraan dari Indonesia yang sudah beristeri tetapi jatuh cinta pada Cempaka.

Siapakah akan menjadi pilihan Cempaka?

Kasih Seharum Manisah
Penulis: A. Razak Adam
RM 17 / RM 19 (Sabah & Sarawak),
978-983-3892-59-4;
9789833892594
Tarikh Terbit: 15 January 2010 ;
Jumlah Muka Surat : 400 halaman

 

Usahlah bersedih hati. Dunia ini memang begitu sifatnya. Ketajaman akal kekadang tidak mampu merobah yang sudah tertulis….

Tidak ada kisah cinta yang biasa. Setiap kisah cinta adalah istimewa. Kelvin, lelaki mualaf yang menjadi cinta pertama Manisah. Halangan keluarga membawa harum kasih Manisah ke sudut derita dalam kisahnya. Pada saat itu, muncul Soefjan, lelaki yang punya kunci untuk harumnya kasih Manisah.

Lalu bagaimana harum kasih Manisah? Terus hilang dibawa angin atau terus harum mewangi.

Tajuk : Aku Kan Novelis
Penulis : Nurul Syahida
Penerbit : Buku Prima
Harga : RM17.90
Tarikh Terbit : 15 Jan 2010

 


Buat Iza, cintanya pada Hisham hanya akan menjadi indah jika si pemuda melafazkan kata-kata itu terdahulu kepadanya. Seorang perempuan tidak patut memulakannya. Tetapi apakah Hisham juga menyimpan perasaan yang sama?


Buat Helmi, Jia Huey adalah segala-galanya yang dimahukan dalam seorang wanita dan gadis itu jelas seperti menyimpan perasaan yang sama. Cuma dia mengesyaki ada sesuatu yang disembunyikan wanita Tionghoa itu darinya.


Buat Safiah, menyelesaikan masalah percintaan sahabat-sahabatnya adalah satu kepakaran. Menghubungkan hati dua insan adalah satu kehebatan. Sebagai seorang novelis kisah cinta, dia tahu semuanya. Sehinggalah masalah muncul dalam bentuk seorang pemuda dengan rambut yang lebih merah dari api.

 

 

 


Tajuk : Cinta Untukmu
Penulis : Siti Nur Dhuha
Penerbit : Buku Prima
Harga : RM22.90
Tarikh Terbit : 1 Jan 2010


Syahiman lelaki berwajah tampan cuba menyembunyikan kelebihannya itu dengan berpenampilan selekeh semata-mata untuk mendapatkan cinta sejati. Dia mahu mencari wanita yang benar-benar dapat menerima kekurangan dirinya. Akhirnya cintanya diterima Fazira. Fazira menghina paras rupa, kekurangan dan kerjaya Syahiman yang tidak menjamin masa depan. Akibat penghinaan itu, Syahiman membawa diri jauh dari Fazira, Tiara dan Haizul. Hidupnya telah berubah serta-merta. Kini dia adalah seorang lelaki tampan dan hidup mewah.


Tiara yang turut menaruh hati pada Syahiman terseksa kerana terpaksa memendam cinta dan perasaan dengan tabah. Tiara sanggup bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Syahiman.


Fazira pula kian berubah dan menaruh dendam yang tidak berkesudahan kerana marah cintanya ditolah Haizul. Fazira nekad untuk memburu setiap insan yang mengecewakannya.

Tajuk : Andainya Kukembali
Penulis : Mia Khaidina
RM 17.90
Penerbit : Buku Prima
Tarikh Terbit : 12 Disember
Halaman : 432 hlm


Azlin meninggalkan Marc Darcy selepas lapan tahun bercinta kerana lelaki itu tidak mahu memeluk Islam. Walaupun sudah berusaha mendekatkan lelaki itu dengan Islam, Azlin gagal mengIslamkan dia. Azlin pulang ke Malaysia, memulakan hidup baru dengan memilih kerjaya baru iaitu wartawan. Dia jatuh hati pada rakan siber tetapi tidak percaya pada pertemuan di alam tidak nyata. Azlin akhirnya memilih Amri untuk mengakhiri sindiran orang keliling terhadap dirinya yang masih bujang pada usia lewat. Bagaimanapun, hidup bersama Amri tidak seindah dijangka.

9 comments:

  1. waaaaa... mmg koyak la poket bulan ni...

    kucing parsi tu nmpak best je... hehehe... teringin nak peluk.

    ReplyDelete
  2. haha... ujung bulan makan buku cicah kopi.
    ish.. i was thinking the same thing. Kucing Parsi tu memang dah masuk list utk disambar masa karnival karangkraf nanti. ;)

    ReplyDelete
  3. wah akak zoroe ......hantu buku betul....gi lah cari kat popular book kb mall byk buku baru kat situ...smlm teman anak sedara beli buku....dia beli buku cinta untukmu ---siti nur duha,,,,,

    ReplyDelete
  4. ngee~ baru je mak pesan jgn beria benor li novel hahaha
    tapi ada aje novel baru kuor, aiseymannnnn melayang lagi duit :D

    ReplyDelete
  5. zorroe kiter gi nak bli kucing parsi kat karnival karangkraf tapi tak der. orrg alaf tu ckp ada problem sikit, so diorang ganti dengan novel dari penulis baru, Nuriz, tajuk buku dia "Salju cinta"

    ReplyDelete
  6. biasa la.. masa tengah teruja tahap kronik, memang lupa diri sikit kalau beli novel tu. huhu.

    ReplyDelete
  7. yeah..dh dpt JAUHARI HATIKU & RUMPUT MASIH HIJAU.... :))))))

    rinn..dh review RMH kan.... so bile nk review Jauhari Hatiku??
    both citer make me cry la.... hehehe....
    people can make the perfect plan..but DIA yg menentukan segala2nya......

    ReplyDelete
  8. Rumput dah baca dah. 2nd round pun dah. hehe. Jauhari, very soon. kiter berazam nak abiskan Jauhari before bookfair :) now tengah ngulit 'Potret Wajah Kekasih' Antasya balkis.

    ReplyDelete